Oleh Juragan Bestari

Tidak cukup dengan pembohongan demi pembohongan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Musa Haji Aman Khan turut menerapkan nilai-nilai pemerintahan ala- Komunis apabila melakukan penindasan secara terbuka terhadap rakyat Sabah.

Belum reda kes rampasan tanah rakyat di Mount Pock Semporna, membakar rumah peneroka di Hutan Simpan Ulu Kalumpang, merampas tanah adat di Tanjung Labian, kini melakukan kekejaman terhadap penduduk Kampung Lok Poring, di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Lebih teruk daripada komunis,” ujar Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeAdilan) Datuk Dr Jeffrey Kitingan selepas melawat kampung Lok Poring yang telah dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan ke Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar.

Jeffrey yang melawat kampung berkenaan atas jemputan penduduk kampung merasa begitu terharu kerana melihat penduduk kampung yang rumah mereka dirobohkan terpaksa berkhemah berhampiran hutan kerana tidak ada pilihan lain disebabkan penempatan yang disediakan jauh terpencil dan tidak siap.

“Keadaan mereka cukup daif dan kebajikan mereka tidak dipedulikan. Kejam betul layanan yang diberikan kepada penduduk kampung Lok Poring ini,” tegas Jeffry dengan nada sebak kerana tidak sanggup melihat rakyat miskin dilayan sebegitu rupa oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Mereka ini semua ahli Umno. Mereka datang jumpa kita. Kita sambut dengan baik kerana bagi kita, mereka rakyat yang memerlukan pembelaan. Kita tidak pernah membezakan mereka. Kita akan bela mereka mendapatkan hak mereka yang dirampas,” kata Jeffrey yang telah mengarahkan peguamnya membantu penduduk Lok Poring menuntut pampasan daripada Kerajaan BN dan memfailkan saman terhadap Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu..

Jeffrey menekankan, pihaknya tidak pernah menolak pembangunan, namun membantah sebarang bentuk penindasan, kezaliman dan kekerasan yang dilakukan terhadap anak negeri Sabah yang dilabelkan sebagai setinggan walaupun mereka mendiami kawasan tersebut sejak 35 tahun lalu.

Atas apa juga alasan, Kerajaan Negeri tidak mempunyai locus standi untuk menafikan customary rights anak negeri Sabah yang telah mendiami tanah berkenaan sejak merdeka tanpa sebarang pampasan dan mereka sewajarnya diberi peluang untuk mendapat hak milik ke atas tanah yang mereka diami.

“Tidak praktikal. Rumah mereka jauh daripada jalanraya. Tidakpun mengganggu pembinaan jalan atau bahaya kepada Pangkalan TLDM. Kenapa usir mereka?” tanya Jeffrey lagi yang menuntut penjelasan bahagian Penempatan Jabatan Ketua Menteri dan Mayor DBKK.

Menurut Jeffrey, sebagai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak patut campurtangan agar mereka yang berhak diberikan pampasan secukupnya kerana pembinaan Pangkalan TLDM telah memberikan gangguan kepada kesejahteraan hidup penduduk kampung yang terlibat.

“Mereka dihalau seperti anjing, tetapi apabila tiba musim pilihanraya, pintu rumah mereka diketuk untuk menagih undi. Tidakkah Najib berasa malu?,” kata Jeffrey yang akan menghantar bantahan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan kerana mezalimi dan merampas tanah penduduk secara paksa.

Jeffrey turut melawat kampung Numbak 2 yang dijadikan lokasi pemindahan penduduk kampung Lok Poring yang terletak lebih 15 kilometer daripada kawasan penempatan asal mereka.

Dalam keadaan tergamam dan tidak tahu bagaimana mahu menyifatkan senario Kampung Numbak 2 yang dibina oleh Kerajaan BN setaraf dengan kandang ayam Mayor DBKK, Jeffrey menyatakan projek berkenaan adalah kes rasuah kelas pertama yang patut menjadi kes berprofil tinggi kerana melibatkan banyak pihak.

“Kontraktor patut disenarai hitamkan kerana mengamalkan konsep ‘asal siap’. Kita akan buat laporan BPR. Kementerian Pertahanan dan Bahagian Penempatan JKM harus bertanggungjawab,” gesa Jeffrey yang kesal kerana projek penempatan semula setinggan Lok Poring adalah satu jenayah kemanusiaan kerana telah mencabul hak asasi manusia.

“Sepatutnya mereka binalah rumah konkrit yang tetap dan boleh dijadikan harta turun temurun kerana kerajaan telah rampas hak mereka secara paksa. Hulurlah simpati kepada rakyat yang tertindas. Jangan penjarakan mereka di kawasan terpencil ini,” ujar Jeffrey yang menggesa kerajaan membina penempatan yang selesa untuk mangsa pembangunan.

Jeffrey turut terkejut dengan tindakan sepontan seorang warga tua, Abdu Nasaluddin, 65, meluru ke arah Jeffrey seraya bersalam lalu membuka baju Barisan Nasional yang dipakainya lalu menghulurkan kepada Jeffrey.

“Ambillah. Inilah yang menyebabkan kami terbuang daripada kampung ini. Biarlah saya tidak berbaju lagi kerana tidak ada ertinya pakai baju BN tetapi menjadi pelarian di tanah air sendiri,” ujar Abdu yang tidak menyangka akan menerima tamparan yang sebegini hebat ketika menghitung hari tua yang semakin dihambar keresahan.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Umno Kampung Lok Poring, Siti Maminah Barama mendesak Kerajaan membayar pampasan yang setimpal dengan kesengsaraan yang mereka lalui sebaik sahaja kampung mereka dilupuskan daripada muka bumi.

Kata Maminah, pada mulanya mereka gembira kerana Kerajaan BN telah memilih kampung mereka sebagai Pangkalan TLDM.

“Kami tidak sangka begini akhirnya. Kalaulah kami tahu kami akan dihalau, kami akan bantah projek ini. Tapi kini semuanya telah terlambat,” ujar Maminah yang terharu akan menerima penghinaan ini ketika saudaranya yang bekerja di Kuala Lumpur sedang sibuk menyiapkan tempahan bunga untuk menyambut Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia.

Maminah menegaskan, mereka tidak menerima sebarang notis daripada DBKK, namun rumah mereka yang terletak di atas tanah persendirian turut dirobohkan tanpa saluran undang-undang.

“Saya tidak pernah terfikir inilah hadiah wakil rakyat saya kerana memenangkan beliau pada pilihanraya lalu. Saya begitu tertekan dan tersiksa dalam keadaan begini. Cukuplah. 2004 adalah kali terakhir beliau mendapat undi kami. Selepas ini, jangan mimpi,” ujar Maminah yang telah berkerat rotan berpatah arang dengan Datuk Jainab Ahmad sejak seminggu lalu.

Jainab telah melakukan Media Black-Out termasuk TV3 yang datang membuat penggambaran kesengsaraan penduduk kampong dan wartawan tempatan sehingga berita kesengsaraan mereka tidak disiarkan di media.

“Saya dilahirkan di Kampung Lok Poring 35 tahun lalu. Saya tidak sakit hati jika Jainab tidak bantu kami. Tapi saya terkilan dan sedih kerana Jainab akhirnya berkata kampung kami perkampungan haram dan mesti dirobohkan. Jadi halalkan undi kami selama ini?,” tanya Maminah yang mendakwa dapat mempengaruhi lebih 1,000 pengundi yang kecewa dengan layanan buruk BN agar memberikan undi mereka kepada yang berhak.

Disebabkan semua usaha untuk menyuarakan masalah mereka menemui jalan buntu, maka Maminah telah menemui Dr Jeffrey di pejabatnya di Sokid Villa untuk mengemukakan aduan rasmi dan memohon bantuan menghebahkan penderitaan penduduk kampung di laman web popular, Malaysia Today.

“Tidak ada air. Tidak ada elektrik. Keselamatan jangan cakaplah. Di mana anak kami mahu sekolah?,” tanya Maminah yang berang kerana kerajaan tidak menyediakan sekolah dan kemudahan asas yang lain untuk penduduk Kampung Numbak 2 yang diperuntukkan untuk penempatan semula penduduk Kampung Lok Poring.

Bak kata pepatah, terjatuh ke air dibaham jerung, terlempar ke udara disambar garuda, Maminah terkedu apabila menerima tunggakan bil air sejumlah RM3,537.90 bagi 3,931 meter padu air yang dibekalkan kepada Kampung Numbak Fasa 2.

“Jainab pujuk guna nama saya ketika memohon bekalan air. Saya setuju untuk kepentingan masyarakat. Tetapi apabila mereka tidak bayar bil air, Jabatan Air potong. Saya pula tanggung hutang walaupun tak pernah guna setitik air,” ujar Maminah yang kesal kerana Jainab memungkiri janji untuk menyelesaikan masalah air sejak meter air dipasang pada 27 Mac 2007.

Maminah turut kesal kerana Ketua Menteri Sabah tidak pernah mengambil tahu kesengsaraan hidup mereka sekalipun Bahagian Penempatan terletak di bawah bidang kuasa Ketua Menteri.

Tegas Maminah, punca utama penduduk kampong Lok Poring enggan berpindah ke Kampung Numbak 2 kerana tidak ada jaminan keselamatan disebabkan ianya menjadi zon penempatan pendatang asing daripada Pulau Gaya dan sekitarnya.

Menurut Maminah, penduduk kampung hidup dalam ketakutan kerana kampung Numbak 2 dan sekitarnya adalah kawasan jenayah dan Balai Polis terdekat terletak 20 kilometer daripada Kampung Numbak iaitu di Pekan Menggatal.

Maminah turut bimbang kerana kampung berkenaan tidak mempunyai sekolah dan murid-murid terpaksa menaiki perahu yang kecil dan tidak selamat untuk ke Sekolah Kebangsaan Gantisan yang terletak 15 kilometer atau SMK Menggatal , SMK Telipok dan SMK Tebobon lebih kurang 20 hingga 30 kilometer.

“Satu-satunya sekolah yang ada ialah untuk warga asing yang disediakan oleh NGO Korea Food For The Hungry International,” tegas Maminah yang kesal kerana mereka diarah berpindah ke Numbak 2 yang kekurangan serba serbi.

Dalam pada itu, Nasihah Binti Abdul yang menetap di Kampung Lok Poring sejak 25 tahun lalu turut meminta pampasan sejumlah RM50,000 untuk rumah yang dirobohkan pada 23 Julai 2007.

“Sampai sekarang saya belum terima walau satu sen dibelah sembilan,” kata Nasihah beliau menolak saguhati sejumlah RM5,757 kerana tidak setimpal dengan harga rumahnya yang bernilai leboh RM50,000.

Ramai penduduk kampung Numbak 2 menyesal berpindah ke kampung berkenaan yang tidak mempunyai kemudahan asas kerana terpedaya dengan janji Wakil Rakyat Karambunai, Jainab Datuk Ahmad yang akan memastikan mereka memperoleh bekalan air dan elektrik dalam waktu terdekat.

“Tapi 23 Julai lalu, bekalan air dipotong dan sampai sekarang tidak ada elektrik,” kata Hamidah Indiong yang juga Naib Ketua Wanita Umno Sabang.

Hamidah merayu agar bekalan elektrik segera dipasang dan bekalan air dibekalkan semula dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan selesa.

Manakala Mukarram Bin Saligan mencabar Jainab agar meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tugas sebagi wakil rakyat.

“Jangan salahkan kami kalau kami sertai pembangkang kerana BN tidak lagi mampu membela nasib kami,” ujar Mukarram yang bekerja sendiri.

Tinjauan Malaysia Today mendapati kampung Numbak 2 dibina secara tergesa-gesa dan tidak berkualiti untuk penempatan manusia. Kebanyakan rumah tidak dihuni kerana penduduk kampung bimbang keselamatan mereka.

Bahan binaan yang digunakan tidak bermutu dan mudah lusuh sehingga dinding yang dibina di dapati renggang dan berlubang. Kegiatan kecurian dan laku musnah (vandalism) semakin menjadi jadi sehingga kebanyakan rumah tidak mempunyai peralatan elektrik, cermin tingkap, paip air, wayar elektrik dan kotak fius telah dicuri atau dimusnahkan.

Terdapat tiga tangki besar yang digunakan untuk menyimpan stok air, tetapi kosong kerana bekalan air ke kampung berkenaan telah dipotong sehingga kebanyakan tangki air yang dibekalkan ke setiap rumah turut dicuri pendatang tanpa izin yang tinggal berdekatan.

Kanak-kanak sekolah terpaksa menaiki perahu untuk ke sekolah, namun ramai daripada mereka tidak memakai pelampung keselamatan kerana tidak mampu membeli.

Para penduduk turut gelisah kerana terpaksa membeli air minuman daripada Kampung Gantisan dengan menggunakan bot dan terpaksa menggunakan air laut untuk mandi.

Tidak ada jalanraya menyebabkan mereka meninggalkan kenderaan mereka di pejabat atau di rumah saudara-mara kerana bimbang kecurian jika diletakkan di tepi jalan menuju kampung berkenaan. Mereka terpaksa melalui jeti papan sejauh tiga kilometer sebelum sampai ke kampung Numbak 2 sehingga sukar untuk membeli barang keperluan.

Satu-satunya jalan berbatu kelikir yang disediakan melalui belakang One Borneo yang sedang dalam pembinaan, namun apabila kompleks membeli-belah berkenaan siap kelak, mereka terpaksa mencari jalan lain.

Ramai penduduk Kampung Numbak 2 menyifatkan mereka adalah kambing korban politik wakil rakyat mereka dan kini akan menjadi mercu tanda berdirinya bendera KeAdilan!


A: MENGADU…..Maminah mengadu kepada Jeffrey berhubung nasib malang mereka.


B: KENANGAN…. Tunggul tiang ini adalah bukti kezaliman BN yang sukar dipadam daripada memori penduduk Kampung Lok Poring.


C: TINJAU…. Jeffrey sedang meninjau sisa kezaliman BN di Kampung Lok Poring.


D: SERAH…. Abdul telah membuka baju BN dan menyerahkan kepada Jeffrey sebagai simbolik beliau telah bosan dengan layanan buruk BN.


E: ASAL… Abdu menunjukkan kad pengenalan mykadnya membuktikan beliau rakyat Malaysia dan bukannya pendatang asing.


F: KASIHAN… Jeffrey mengusap ubun-ubun seorang kanak-kanak yang berusia seminggu yang menumpang teduh bersama ibunya di gubuk sementara di Lok Poring kerana rumah mereka dirobohkan ketika kanak-kanak ini lahir sehingga mereka terpaksa menumpang di surau berdekatan.


G: HAIRAN…. Maminah menunjukkan rumah penduduk dirobohkan, tetapi kilang makanan ternakan yang mengeluarkan bau busuk masih tegap berdiri.


H: PASRAH… Ibu Maminah pasrah apa yang terjadi, namun enggan berpindah walaupun anak lelakinya membuka rumah mereka secara perlahan-lahan.


I: HINA… Rumah Tuhan yang dibina dengan peruntukan wakil rakyat turut menjadi mangsa.


J: LUBANG… Jeffrey menunjukkan dinding yang dibina dengan bahan yang tidak berkualiti sehingga berlubang.


K: BAD… Jeffrey dan dua penduduk Kampung Numbak 2 menunjukkan isyarat mengutuk rumah berkenaan.


L: ELEKTRIK…. Ada tiang, ada wayar, tetapi tiada karan. Kia Karo?


M: HIBUR… Jeffrey cuba menghiburkan anak Mukarram yang gelisah kerana suasana panas membahang dalam rumah di Kampung Numbak 2.


N: PUTUS… Maminah menunjukkan semua paip air diputuskan oleh pelaku musnah.


O: YB….”Datuk, saya mau jadi YB, bolehkah?” Mungkin itulah yang dibisikkan oleh Jeslan kepada Jeffrey sekembalinya daripada sekolah.


P: TERUK… Murid sekolah yang membahaya diri mereka mengharungi ombak laut untuk ke sekolah turut mengutuk layanan buruk terhadap mereka.


Q: KERING….”Tak ada air,” kata seorang suri rumah kerana semua gelen kosong dan terpaksa membeli air di tanah besar.


R: PENJARA…. Inilah rupa penjara untuk rakyat termiskin.


S: MALANG…. Maminah termenung kerana dirundung malang menanggung hutang bil air penduduk kampung Numbak.


T: TANGKI… Tiga tangki ini kosong dan hanya menjadi hiasan.


U: PTI… Inilah penempatan PTI yang menjadi sarang jenayah dan terlalu hampir dengan Numbak 2.


V: SEKOLAH…Numbak Vision Center yang menjadi tempat anak PTI menimba Ilmu. Anak tempatan terpaksa mengharung lautan untuk ke sekolah?


W: BIL… Maminah menunjukkan hadiah Valentine Jainab kepadanya yang berupa tunggakan bil air.


X: Nasihah menunjukkan lambing 50 yang bermaksud RM50,000 tuntutan yang dibuat.